Nasi Putih (Basmathi), Dalca, Sambal dan Ayam Goreng; Time:11.30 am - 1.30 pm, Setiap Hari Bekerja; Mulai:11/7/2011
Telah kembali mulai 17/10/2011 dan akan menemui anda di kebanyakan bandar utama.

Friday, August 6, 2010

Terang Lagi Bersuluh...

AKU mohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam.

[275] Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.

[276] Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa. Al-Baqarah 275 - 276

Kalau ditanya, mana yang lebih besar pahalanya di antara memberi pinjaman tanpa faedah atau memberi sedeqah, apakah jawapannya?. Secara umumnya para ulama berbeza ijtihad dalam menentukan mana yang lebih baik daripada yang lain. Artikel ini mengupas dengan ringkas tapi padat persoalan tersebut. Semoga dengannya kita akan dapat menentukan keputusan terbaik ketika ingin membantu insan lain.

PINJAMAN LEBIH BESAR GANJARAN

Menurut sebahagian ulama, pinjaman tanpa faedah adalah lebih utama [1] berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

Hadis 1 :
رأيت لَيْلَةَ أسرى بِي على بَابِ الْجَنَّةِ مَكْتُوبًا الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ فقلت يا جِبْرِيلُ ما بَالُ الْقَرْضِ أَفْضَلُ من الصَّدَقَةِ قال لِأَنَّ السَّائِلَ يَسْأَلُ وَعِنْدَهُ وَالْمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إلا من حَاجَةٍ
Maksudnya: "Pada malam aku pergi ke syurga (semasa Israk Mi'raj), aku melihat tertulis di dalam pintu Syurga, "Setiap sumbangan sedeqah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali" lalu aku (Nabi) bertanya : wahai Jibrail, mengapakah pemberian pinjam lebih mulia daripada sedeqah? Jawab Jibrail : Kerana yang meminta di waktu meminta itu, sedang ia masih memiliki (mampu), sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjam kecuali benar-benar di kala keperluan." (Riwayat oleh Ibn Majah)[2]

Namun demikian ‘Ajlouni [3] dan Albani menilai hadis ini sebagai lemah. Kelebihan pemberian pinjam ini juga yang disebutkan oleh Al-Jassas di dalam kitab beliau Ahkam al-Quran :

سَمّاهُ اللهُ قَرْضاً تَأكِيْداً ِلاسْتِحْقَاقِ الثَّوَابِ بِهِ؛ إِذْ لاَ يَكُونَ قَرْضاً إِلاّ وَالعِوَضُ مُسْتَحَقٌّ بِه
Ertinya : "Allah menamakannya sebagai qard (pinjam) sebagai penguat kepada perolehan pahala kebaikannya, kerana jika ia bukan qard, maka pemberi pinjam layak mendapat ganjaran (material) darinya" [4]

Selain daripada dalil yang pertama, kumpulan ini juga berpegang kepada hadis Nabi s.a.w :

قَرْضُ الشَّيْءِ خَيْرٌ مِنَ الصَّدَقَةِ
Ertinya : Memberikan pinjaman (tanpa faedah) itu lebih baik dari memberi sedeqah (Al-Bayhaqi, 5/354)

SEDEQAH LEBIH UTAMA

Sebahagian ulama lain pula berijtihad, sedeqah lebih utama, pandangan ini antara lainnya disandarkan kepada kata-kata baginda Nabi s.a.w dari Ibn Mas'ud :

مَنْ أَقْرِضَ مُسْلِماً دِرْهَماً مَرَّتَيْنِ كَانَ لَهُ كَأجْرِ صَدَقَة مَرّة
Ertinya : Sesiapa yang memberi pinjaman (tanpa faedah) kepada seorang Muslim sedirham sebanyak dua kali, baginya pahala sekali memberi sekali sedeqah (Ibn Hibban, 7/249 ; Ibn Majah, 2/812 ; Albani mengatakannya Sohih)

Namun begitu, Ibn Mas'ud mengulas:

لأنْ أقْرِضَ مَرَّتَيْن أَحَبّ إليّ مِنْ أَنْ يَتَصَدَّقَ مَرّة
Ertinya : Memberikan pinjam dua kali lebih disukai olehku daripada mereka yang bersedeqah sekali sahaja. (Sunan Al-Baihaqi, 5/353)


PANDANGAN TERPILIH

Demikian tadi ringkasan dari pendapat dua kumpulan ulama semasa membicarakan perihal keutamaan sedeqah atau pinjaman. Setelah melihat kepada hujjah yang dikemukakan dan perbincangan panjang lebar ulama, saya cenderung kepada huraian Imam Ibn Hajar Al-Haythami yang menganjurkan gabungan kedua-dua dalil dengan melihat kepada sebab musabab atau ‘illah yang boleh menjadikannya lebih utama.

Saya kira, cara tersebut lebih menepati maksud sesebuah hukum dalam hal Fiqh Muamalat. Apabila ditinjau dari huraian hadis di atas dan berbekalkan nas-nas lain, jelas bahawa keutamaan sedeqah dan pemberian pinjam berbeza menurut keadaan penerima. Lebih memerlukan di penerima, lebih utama pemberian itu, sama ada ia pinjaman tanpa faedah atau sedeqah. (Al-Inafah, Ibn Hajar Al-Haythami, hlm 157)

Berdasarkan kepada hadis pertama sebelum ini, diberitahu bahawa pinjaman tanpa faedah lebih utama kerana ia diberikan kepada mereka yang sangat berkeperluan berbanding sedeqah.

Namun, jika dilihat suasana di zaman ini khususnya, keadaan ini boleh menjadi sebaliknya, penerima sedeqah juga boleh jadi dari kalangan mereka yang sangat miskin dan memerlukan.

Manakala penerima pinjaman pula boleh datang dari kalangan mereka yang tidak begitu mendesak keperluannya seperti para usahawan yang sudah kaya raya dengan harta melimpa ruah, tetapi masih memerlukan pinjaman tertentu bagi memperbesarkan perniagaannya.

Justeru, dalam konteks fiqh Muamalat, para ulama mengajar kita untuk tidak terlalu terikat dengan teks sesebuah nas kerana hukum di dalam bab ini lebih perlu merujuk kepada objektif dan sebab musabbabnya.

Hasil penelitian itu, kita akan dapati bahawa keutamaan dalam hal sedeqah dan pinjaman ini tertakluk kepada pertindanan pahala dari satu amalan.

Sebagai contoh, apabila pinjaman diberikan kepada mereka yang memerlukan. Ini bermakna selain memberi bantuan pinjaman, kita juga meraih pahala melepaskan saudara dari keadaan sukar dan sempit. Sebagaimana hadis :

مَنْ كَشفَ عَن مُسلم , كُربَةً مِن كُرَبِ الدُّتيا , كَشَفَ اللهُ عَنهُ كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَوْمَ القِيامَة , والله في عَوْنِ العَبْدِ مَا دَامَ العَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيْه
Ertinya : Barangsiapa yang melepaskan dari seorang Muslim, satu kesukaran dari kesusahan duniawi, maka Allah swt akan melepaskannya satu kesukaran dari kesukaran akhirat, dan Allah swt akan membantu seseorang hamba selagi mana hamba itu membantu saudaranya" (Riwayat Muslim)

Justeru, sama ada pemberian pinjaman tanpa faedah atau sedeqah, jika ia diberikan kepada mereka yang sangat memerlukan, ganjaran dan keutamaannya menjadi bertambah.

Allah swt pula menegaskan, keutamaan sedeqah kepada mereka yang memerlukan dan kesusahan di dalam ayat :

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya : Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. ( Al-Baqarah : 280 )

Ayat di atas jelas merangkumi dua keadaan;

Pertama : peminjam harta yang ditimpa kesukaran sehingga tidak mampu memulangkan harta yang dipinjam, lalu pemberi pinjam diminta untuk sama ada memberi tangguh tanpa penalty atau menyedeqahkan sahaja jumlah yang dipinjam.

Kedua : Pembeli secara bayaran tangguh yang tidak melangsaikan hutang pembeliannya kerana kesukaran. Tatkala itu, penjual diminta memberi masa untuk pembeli menyelesaikan hutangnya atau menyedeqahkan sebahagian atau semua bayaran yang belum dilangsaikan.

Jelas dapat dilihat dari ayat diatas, bagaimana Allah swt menggalakkan sedeqah kepada mereka yang sangat memerlukan dan ditimpa kesusahan. Justeru, kelebihan kedua-dua amalan itu jika dilihat dari perspektif si penerima, ia bergantung banyak kepada situasi penerima, demikian juga ditegaskan oleh Syeikh Al-Balqini.

Manakala jika dilihat keutamaan dua amalan itu dari perspektif pemberi, tentulah pemberi sedeqah lebih utama kerana ia melepaskan hak milik hartanya kepada penerima, berbanding pemberi pinjaman. Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.