AKU mohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1] Demi Masa!
[2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;
[3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
"Dalam Surat ini Allah menerangkan martabat yang empat itu. Dan Allah bersumpah, demi masa, bahawasanya tiap-tiap orang rugilah hidupnya kecuali orang yang beriman. Yaitu orang yang mengetahui kebenaran lalu mengakuinya. Itulah martabat pertama. Beramal yang shalih, yaitu setelah kebenaran itu diketahui lalu diamalkan; itulah martabat yang kedua. Berpesan-pesanan dengan Kebenaran itu, tunjuk menunjuki jalan ke sana. Itulah martabat ketiga. Berpesan-pesanan, nasihat-menasihati, supaya sabar menegakkan kebenaran dan teguh hati jangan bergoncang. Itulah martabat keempat. Dengan demikian tercapailah kesempumaan" - HAMKA.
17 Januari 2009 sebenarnya merupakan tarikh yang penuh makna kepada saya. Itulah hari terakhir saya berusia 40 tahun. Dan itulah juga tarikh Mesyuarat Agung Penubuhan Koperasi Kinta Utama Perak Berhad (KO-KITA). Sedar tak sedar, usia KO-KITA sudah menjangkau satu tahun setengah. Kalau anak, KO-KITA ini sudah pun pandai berjalan. Biarpun berjalan jatuh seperti juga kanak-kanak lain, KO-KITA juga sudah cuba mahu berlari biar pun jalannya belum cukup teratur dan makannya masih disuap.
KO-KITA, seperti juga anak-anak, perlu menjadi cukup besar dan kuat supaya dapat berbakti kepada masyarakat. Untuk menjadi besar dan kuat, KO-KITA perlu mempunyai ahli yang ramai. Sebagai permulaan, KO-KITA memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 orang ahli. Sehingga ke tarikh ini, ahli KO-KITA baru mencapai 430 orang. Masih kekurangan 9,570 orang ahli.
KO-KITA memerlukan 10,000 orang ahli untuk memulakan perniagaan hypermarket! Dan sebenarnya semuanya akan bermula di situ.
Hypermarket yang mempunyai ahli seramai 10,000 orang akan dapat mencapai jualan sekurang-kurangnya RM 3,000,000 sebulan sekiranya setiap ahli berbelanja sebanyak RM 300 setiap bulan untuk sekurang-kurangnya keperluan harian mereka di situ. Sekiranya keuntungan bulanan bersih hanyalah 2%, maka jumlahnya ialah RM 60,000 dan ini menjadikan jumlah tahunan sebanyak RM 720,000. Jika setiap ahli mempunyai saham minima RM 100, maka jumlah keseluruhan saham adalah RM 1,000,000. Maka RM 720,000 sebenarnya adalah 72% keuntungan kepada setiap ahli!
Selain daripada keuntungan kepada modal saham, projek hypermarket ini juga bakal menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada ahli dan keluarga meraka. Ini bakal meningkatkan ekonomi ahli dan pastinya projek ini akan dapat membantu meningkatkan ekonomi negara secara amnya.
Kekuatan sesebuah koperasi sebenarnya adalah jumlah keahliannya. Semakin besar keahlian sesebuah koperasi itu, maka semakin kuatlah koperasi tersebut. Maka, perkara yang penting untuk dilakukan oleh setiap ahli KO-KITA ketika ini ialah untuk menambahkan jumlah ahli supaya mencapai 10,000 orang.
Mendapatkan ahli baru untuk KO-KITA bukanlah percuma! Setiap ahli yang mencadangkan ahli baru akan dibayar RM 25. Sekiranya seorang ahli dapat mencadangkan 10 ahli yang baru, maka dia akan mendapat RM 250. Fi masuk adalah RM 100 dan saham minima adalah RM 100, maka disini sahaja ahli sudah mendapat keuntungan 25%. Tanpa mencabar minda, anak-anak yang berumur 12 tahun pun boleh mengira keuntungan ini. Malangnya, keahlian koperasi hanya kepada mereka yang berumur 18 tahun dan keatas.
Sekiranya kita benar-benar bermula pada hari ini, setiap 430 orang ahli yang sedia ada mencari sekurang-kurangnya seorang ahli baru setiap bulan, maka pada bulan berikutnya, kita sudah mempunyai 860 orang ahli. Sekiranya proses ini berterusan, dalam masa empat bulan lagi kita bakal mempunyai 13,760 orang ahli dan jumlah ini sebenarnya sudah lebih dari cukup untuk kita memulakan perniagaan hypermarket!
Dengan jumlah ahli 13,760 orang itu, sekiranya kita dapat membina 1,000 unit rumah untuk mereka, dan sebenarnya jumlah ini tidak pun sampai 10% dari jumlah keahlian tersebut, dengan keuntungan setiap rumah sebanyak RM 10,000 maka projek ini akan menambahkan keuntungan kepada koperasi sebanyak RM 10,000,000.
Oleh kerana koperasi ini mempunyai lesen kontraktor binaan sendiri, maka dengan sedikit penyesuaian, ahli bakal dapat membeli rumah-rumah tersebut tanpa faedah. Maka, kita akan dapat menghindarkan diri dari perbuatan riba dan harta yang kita perolehi itu akan menjadi lebih berkat lagi. Insya-Allah.
Dengan jumlah ahli 13,760 orang itu juga, sekiranya kita dapat menjual 1,000 unit kereta kepada mereka dengan keuntungan RM 5,000 sahaja pun, maka koperasi bakal mendapat keuntungan sebanyak RM 5,000,000. Penjualan kereta ini juga bakal dilakukan tanpa melibatkan faedah dan ini sekali lagi akan menyelamatkan ahli dari terlibat dengan riba.
Dengan jumlah ahli seramai 13,760 orang itu juga, kita bakal mewujudkan tabung pinjaman dengan setiap ahli menyumbang sekurang-kurangya RM 20, maka kita akan dapat mengumpulkan sejumlah wang sebanyak RM 275,200 sebagai modal permulaan. Oleh kerana modal pinjaman ini merupakan sumbangan setiap ahli, maka risiko yang ditanggung oleh koperasi adalah sangat rendah dan dengan itu juga koperasi bakal mampu untuk memberikan pinjaman peribadi kepada ahli tanpa faedah, pinjam wang sebanyak RM 1,000 misalnya, bayar balik pun RM 1,000 juga. Sekali lagi kita akan dapat menyelamatkan diri kita dari terlibat dengan riba dan semoga dengan itu, kehidupan kita akan diredhai oleh Allah. Amin!
Dengan jumlah ahli seramai 13,760 orang itu juga, berdasarkan andaian setiap orang ahli mempunyai seorang anak kecil, maka kita boleh memulakan pusat jagaan harian kanak-kanak. Sekiranya kita mendapat keuntungan sebanyak RM 10 daripada setiap anak-anak yang dijaga, maka koperasi akan mendapat pulangan sebanyak RM 130,000 sebulan dan jumlah ini akan menjadikan keuntungan sebanyak RM 1,560,000 setahun.
Ada banyak lagi projek yang boleh kita buat dengan jumlah ahli yang sebanyak 13,760 orang itu. Setakat ini, jumlah keuntungan setahun yang bakal kita perolehi ialah RM 344,000 dari insentif cari ahli, RM 990,720 dari jualan hypermarket, RM 10,000,000 dari jualan rumah, RM 5,000,000 dari jualan kenderaan dan RM 1,560,000 dari pusat jagaan kanak-kanak. Jika dijumlahkan, keuntungan tahunan koperasi kita akan mencecah RM 17,894,720.
Dengan keahlian seramai 13,760 dan keuntungan itu dibahagikan dalam bentuk dividen, maka setiap ahli bakal mendapat RM 1,300.49. Jumlah ini sebenarnya adalah keuntungan sebanyak 1,300.49%! Bersambung…
Wednesday, August 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.