Nasi Putih (Basmathi), Dalca, Sambal dan Ayam Goreng; Time:11.30 am - 1.30 pm, Setiap Hari Bekerja; Mulai:11/7/2011
Telah kembali mulai 17/10/2011 dan akan menemui anda di kebanyakan bandar utama.

Sunday, June 27, 2010

Kebiasaan Hidup...

Oleh kerana kebiasaan hidup itu makan nasi, jika tidak makan maka tidak kenyang! Sama keadaannya apabila meminjam dengan melibatkan riba, jika tidak ada riba maka tidak akan masuk akal. Itulah sebenarnya keadaan pada hari ini dan ia akan berterusan sehinggalah suatu sistem yang benar-benar tidak melibatkan riba itu berlaku maka barulah sistem riba itu akan dapat dikikis.

Pada dasarnya, kehidupan yang bebas dari riba ini pasti boleh berlaku apabila kita boleh menerima sistem yang benar-benar bebas riba. Perkara pertama yang perlu difahami ialah riba itu sendiri. Seperti maksud hadis, Abu Said Al-Khudari berkata, "Rasulullah bersabda: Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam dipertukarkan dengan sama, segenggam dengan segenggam. Siapa yang manambah atau minta tambah maka ia telah malakukan riba, baik yang meminta maupun yang memberi, dalam hal itu sama saja" (Hadith Riwayat Al-Syaikhan). Dalam Quran juga disebut, Surah Al-Baqarah - [275] Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Walaupun maksud ayat Quran dan Hadis itu sebenarnya sangat mudah untuk difahami, rata-rata khalayak yang sudah biasa dengan kehidupan yang terlibat dengan riba sangat sukar untuk hidup tanpanya akibat ia sudah menjadi darah daging. Maka sebenarnya adalah menjadi tanggung jawab setiap muslim pada hari untuk berusaha membebaskan kita semua dari cengkaman dan fahaman riba ini.

Oleh kerana itu, adalah sangat perlu kita memulakan satu sistem yang benar-benar bebas riba dan menjadikan ia suatu jihad dan bukan sekadar ijtihad!

Apabila datang seorang kepada seorang yang lain dan mengatakan ada satu tempat yang boleh membuat pinjaman RM 10,000 dan bayar balik RM 10,000 sahaja, maka dijawab oleh seorang yang lain itu “impossible!”.

Pun begitu, rasa ingin tahu membawa seorang yang lain itu ketempat pinjaman dan bertanyakan syaratnya. Maka dijawab oleh ahli pemberi pinjam itu, kamu perlu menjadi ahli dan membawa sekurang-kurangnya empat orang yang mahu meminjam juga untuk menjadi ahli. Lalu seorang yang lain itu bertanya lagi, apakah syarat menjadi ahli. Ahli pemberi pinjam itu menjawab, RM 100 untuk menjadi ahli dan RM 100 saham minima. Dan seorang yang lain itu pun pulang dengan senyum sambil membawa pulang 5 borang keahlian.

Dalam fikirannya, sekiranya dia menjadi ahli dan mengambil nama 4 orang yang lain untuk menjadi ahli, jumlah yang perlu dia bayar adalah RM 1,000. Kemudian dia akan mendapat RM 10,000, maka dia akan mendapat untung RM 9,000 setelah ditolak bayaran RM 1,000 untuk 5 keahlian dan saham minima.

Keesokan harinya, seorang yang lain itu pun pergi ketempat pinjaman dengan penuh harapan dan menyerahkan borang keahlian dan bayaran.

Bersambung...

Tuesday, June 22, 2010

Free Riba...

Surah Al-Baqarah - [275] Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

[276] Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

[277] Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

[278] Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

[279] Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

[280] Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

[281] Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.


Surah Al-Imran - [Ayat : 130] Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat-ganda; dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah telah bersabda: Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah melakukan perbuatan zina.(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #129,Bab Dosa dosa Besar dan Yang Paling Besar)

Hadis Sahl bin Abi Hathmah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melarang penjualan kurma dibayar dengan kurma, baginda bersabda: Itu adalah riba, iaitu Muzabanah, jual beli yang tidak jelas. Baginda hanya memberi keringanan dalam penjualan secara Ariyyah iaitu satu atau dua pokok kurma diambil oleh satu keluarga dengan kiraan kurma kering dan mereka makan buah yang separuh masak.(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2842,Bab Haram Menjual Buah Kurma Basah Dengan Buah Kurma Kering Kecuali Dalam Araaya Iaitu Buah Kurma Yang Hampir Masak)

Hadis Aisyah r.a katanya: Ketika ayat terakhir dari surat Al-Baqarah tentang riba diturunkan, Rasulullah s.a.w keluar ke masjid lalu mengharamkan perdagangan arak.(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2958,Bab Pengharaman Menjual Arak)

Hadis Umar bin Al-Khattab r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Perak ditukar dengan emas adalah riba kecuali diserahkan dan diterima pada waktu yang sama. Gandum ditukar dengan gandum adalah riba kecuali diserahkan dan diterima pada waktu tersebut. Kurma ditukar dengan kurma juga adalah riba kecuali diserahkan dan diterima pada waktu yang sama.(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2968,Bab Penukaran Wang Dan Jual Beli Emas Dengan Perak Secara Tunai)

Hadis Al-Bara' bin Azib r.a: Diriwayatkan daripada Abu Minhal katanya: Rakan kongsi aku pernah menjual perak dan pembayarannya ditangguhkan sehingga musim Haji. Dia datang kepadaku dan memberitahu perkara itu. Maka aku berkata: Itu suatu perkara yang tidak baik. Beliau menjawab: Tapi aku telah menjualnya di pasar dan tiada seorangpun yang menghalangku. Maka aku (Abu Minhal) pergi menemui Al-Bara' bin Azib dan bertanya masalah itu. Dia berkata: Nabi s.a.w datang ke Madinah dan kami kebiasaannya melakukan jual beli seperti itu, maka baginda bersabda: Apa sahaja yang terus diserahkan dan diterima, adalah tidak mengapa. Tetapi yang bertempoh adalah riba. Pergilah berjumpa Zaid bin Arqam, perniagaannya lebih maju daripada perniagaanku. Aku terus menemuinya dan menanyakan masalah itu. Beliau menjawab sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Bara'.(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2975,Bab Larangan Menjual (Menukarkan) Perak Dengan Emas Secara Hutang Atau Tangguh)

Hadis Abu Said r.a katanya: Bilal pernah menghadap baginda dengan membawa kurma Barni. Rasulullah s.a.w bertanya: Dari manakah kurma ini? Bilal menjawab: Kurma milik aku yang kurang bermutu, maka aku menjualnya dua gantang dengan satu gantang (yang bermutu) untuk juadah Nabi s.a.w. Apabila mendengarnya, Rasulullah s.a.w bersabda: Ah, itu adalah riba. Jangan buat seperti itu. Jika kamu ingin membeli kurma yang baik, juallah kurmamu dan belilah kurma yang baik dengan hasil penjualanmu tadi.(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2985,Bab Jual Beli Iaitu Tukar Makanan Adalah Harus Sekiranya Sama Banyak)

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Diriwayatkan daripada Abu Nadhrah r.a katanya: Aku pernah bertanya Ibnu Abbas tentang tukar menukar barang yang sejenis. Beliau bertanya semula: Adakah saling menerima? Aku menjawab: Ya! Maka beliau berkata: Itu tidak mengapa. Aku memberitahu Abu Said, kataku: Aku pernah bertanya kepada Ibnu Abbas tentang tukar menukar barang yang sejenis. Beliau bertanya semula: Apakah terus diserah terima? Aku menjawab: Ya! Beliau berkata: Kalau begitu, tidak mengapa. Abu Said berkata: Benarkah dia berkata begitu? Aku akan menulis surat kepadanya supaya dia tidak lagi memberi fatwa begitu kepada kamu. Demi Allah beberapa orang pemuda pernah menghadap Rasulullah s.a.w dengan membawa kurma tetapi baginda tidak mengenali kurma tersebut. Baginda bersabda: Kurma ini kelihatan bukan hasil dari tanah kita. Pemuda tadi berkata: Inilah yang berlaku pada kurma kita, hasilnya tidak begitu baik atau mungkin juga pemuda tersebut berkata: Pada tahun ini tamar kita tidak begitu baik. Oleh itu saya menukarnya dengan kurma ini secara melebihkannya sedikit. Baginda bersabda: Kamu telah melebihkannya, bererti kamu telah melakukan riba. Jangan sekali-kali kamu lakukan perkara sebegini. Apabila ada sesuatu yang meragukan tentang kurmamu maka juallah kurmamu itu kemudian belilah kurma yang kamu inginkan.(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2988,Bab Jual Beli Iaitu Tukar Makanan Adalah Harus Sekiranya Sama Banyak)

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Dinar ditukar dengan dinar, dirham ditukar dengan dirham secara jumlah yang sama. Sesiapa yang berlebihan, maka itu adalah riba. Dikata kepada Abu Said Al-Khudriy: Sesungguhnya Ibnu Abbas tidak berpendapat sedemikian. Katanya: lagi: Aku pernah bertemu dengan Ibnu Abbas, lalu aku berkata: Adakah apa yang kamu katakan itu, kamu mendengarnya daripada Rasulullah s.a.w atau kamu temuinya di dalam kitab Allah? Dia menjawab: Aku bukan mendengarnya dari Rasulullah s.a.w atau aku temui di dalam kitab Allah, tetapi Usamah bin Zaid yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda: riba itu terdapat dalam penangguhan pembayarannya.(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2990,Bab Jual Beli Iaitu Tukar Makanan Adalah Harus Sekiranya Sama Banyak)

Hadis Usamah bin Zaid r.a: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya riba itu terdapat dalam penangguhan bayarannya.(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2991,Bab Jual Beli Iaitu Tukar Makanan Adalah Harus Sekiranya Sama Banyak)

Hadis Ibnu Umar r.a katanya: Umar telah berkhutbah di atas mimbar Rasulullah s.a.w. Beliau mengucap syukur kepada Allah dan memuji-Nya, kemudian dia berkhutbah: Sesungguhnya arak telah diharamkan berikutan dengan turunnya ayat Al-Quran pada hari ia diturunkan. Arak yang diharamkan diperbuat dari lima perkara iaitu gandum, barli, tamar, zabib dan madu. Arak ialah benda yang boleh menyebabkan hilang akal iaitu mabuk dan tiga benda yang suka aku peringatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada kita tentang masalah warisan iaitu orang tua dan Al-Kalaalah iaitu orang yang mati tidak meninggalkan ayah dan ibu serta anak untuk menerima pusakanya dan perkara-perkara yang boleh menyebabkan berlakunya riba.(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #5360,Bab Ayat Yang Diturunkan Tentang Pengharaman Arak)

Abu Said Al-Khudari berkata, "Rasulullah bersabda : "Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam dipertukarkan dengan sama, segenggam dengan segenggam. Siapa yang manambah atau minta tambah maka ia telah malakukan riba, baik yang meminta maupun yang memberi, dalam hal itu sama saja. Hadith Riwayat Al-Syaikhan.

Bersambung...