Monday, May 21, 2012

Datang bergolek…

1. “Tidak ada Jalan pintas”. Sudah lebih dua tahun saya berusaha dan berbicara tentang penstrukturan semula ekonomi. Beberapa konsep saya perkenalkan termasuklah “Charity Lunch”, Bantuan Pinjaman Tanpa Faedah dan Program memiliki Induk Kambing Baka Shami yang memberi pulangan tahunan sehingga 60% setahun, walaupun dengan kemudahan penyertaan secara di talian (online), namun dari segi penerimaannya masih tidak sempurna. Mungkin juga penyampaiannya tidak sempurna tetapi saya lebih suka membuat kesimpulan bahawa memang sukar untuk mengajar itik berenang!
 
2. Jangkanya semua pun sudah pandai dan berkedudukan lalu menjadi sangat sukar untuk menerima sesuatu kerana pandai juga dan perlu beri pendapat juga supaya pandai itu terserlah. Walau baik mana pun cadangan, tanpa sokongan dan penerimaan yang baik dari semua pihak, cadangan akan terus tinggal cadangan tanpa pelaksanaan yang berkesan.
 
3. Saya kira, pahala bersedekah dan memberi makan, dosa riba dan sunnah rasul berniaga serta membela kambing tidak terkesan di hati para pembaca menjadi sebab tiada sambutan kepada semua program yang dicadang dan usahakan. Mungkin juga masanya belum sampai untuk masyarakat menerima kerana belum sampai tahap kronik atas setiap perkara yang disebut dan dibincangkan di sini.
 
4. Dan Allah telah sebut dalam al-Quran, "Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah." [Al-A'raaf , 30]
 
5. Dalam ayat yang lain, “Bertanyalah (wahai Muhammad): Adakah di antara makhluk-makhluk: yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang dengan memberi petunjuk kepada kebenaran? Katakanlah: Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? Maka apakah alasan sikap kamu itu? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal)?” [Yunus , 35].
 
6. Dalam hal “Charity Lunch”, saya kira hadis-hadis berikut tidak lah begitu bermakna kepada ramai… i) Daripada Abdullah bin Amr bin Al-As’ RA bahawasanya seseorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, (amalan) Islam manakah yang terbaik? Jawab Rasulullah s.a.w,“Kamu memberi makan, dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tak kenal”; ii) Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda “Sembahlah Allah yang Maha Pemurah, berilah makan, dan sebarkanlah salam. Nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera”
 
7. Begitu juga dalam hal Pinjaman Tanpa Faedah, dan saya kira dosa riba dapat dicuci hanya dengan asalan tiada pilihan atau dengan perkara fardhu seperti solat, puasa dan haji atau mungkin juga dengan hanya umrah yang berkali-kali… “Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul- Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” [Al-Baqarah: 279]
 
8. Dan hadis mengenai kambing ini juga mungkin tidak begitu penting “i) Abu Hurairah juga meriwayatkan sabda Rasulullah “Asas kekufuran ada di arah matahari terbit, megah dan angkuh ada pada pemilik kuda dan unta, mereka yang bersuara nyaring (bising) ialah pemelihara haiwan berbulu (arnab, kucing) dan ketenangan itu ada pada gembala (pemilik, pengembala) kambing”. (Hadis ini turut dinukilkan oleh al-Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatta`). ii) Dalam sebuah mafhum hadis yang sanadnya disandarkan kepada Abu Said al-Khudri mengata bahawa Rasulullah pernah bersabda “Akan tiba suatu masa di mana kambing merupakan sebaik-baik harta bagi orang Islam. Orang Islam akan memeliharanya di puncak-puncak bukit dan di lembah-lembah, hidup terpencil dari masyarakat demi memelihara agama daripada ditimpa bencana”. Malah menurut Abdullah bin Mas’ud semasa beliau bertugas sebagai gembala kambing milik Utbah bin Mu’aith, susu kambing segar merupakan minuman kegemaran Rasulullah dan beliau meminumnya secara langsung setelah diperah dari tetek kambing betina. Secara tidak langsung, semua fakta ini menunjukkan betapa kambing itu merupakan satu kepentingan asasi dalam kehidupan manusia.
 
9. Saya kira semuanya pun tak penting...!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.