Monday, December 9, 2013

"Riba" lawannya sedekah...

Riwayat Ahmad dan Abu Daud,
 
"Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Allah akan melaknat pemakan riba, yang memberi makan, dua orang saksinya dan juru tulisnya."
 
Pengajaran Hadis:
 
i) Mencari rezeki merupakan sebahagian daripada ibadah. Begitu juga sebaliknya. Agihan kekayaan yang tidak seimbang akan menjadi punca terjadinya segala jenayah berbentuk korupsi.
 
ii) Di antara rezeki yang haram menurut pandangan Islam ialah rasuah, makan harta anak yatim tanpa hak, mencari rezeki dengan meminta-minta, riba, perdagangan benda yang memabukkan, perjudian, penipuan dalam timbangan, menjual barang rosak dan barang tiruan.
 
iii) Riba yang dari segi istilah bermaksud 'az ziadah' (tambahan) iaitu tambahan di atas modal sama ada sedikit atau pun banyak (beban bunga) di mana ia adalah termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar kerana ia merupakan pemerasan orang kaya terhadap orang miskin yang membuatkan orang kaya menjadi bertambah kaya dan orang miskin menjadi bertambah melarat.
 
iv) Pemakan riba akan mendapat hukuman yang berat sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud: Orang memakan riba atau mengambilnya, ia tidak dapat berdiri (hidup) melainkan keadaan seperti orang yang dirasuk syaitan atau macam orang gila (kehilangan akal) al-Baqarah: 275) Dalam surah dan ayat yang sama juga selanjutnya Allah berfirman bahawa orang yang mengulangi memakan riba setelah ia mengetahui hukumnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.
 
v) Semasa peristiwa Isra' dan Mikraj, Rasulullah s.a.w telah ditunjukkan bagaimana seorang yang berenang dalam sungai darah. Setiap kali orang berkenaan menghampiri tebing, dia telah dilontar dengan batu. Penjelasan yang diberikan oleh malaikat ialah orang ini sewaktu di dunia adalah pemakan riba.
 
vi) Sistem riba adalah sistem yang buruk dari segi ekonomi. Oleh itu untuk menghindari dari kemungkinan terlibat ke dalam riba yang dilarang oleh Islam, (walaupun batas-batas yang dianggap riba masih diperselisihkan di kalangan para ulama) jalan yang paling selamat adalah melakukan muamalah berdasarkan ajaran lslam sama ada secara mudharabah, musyarakah, murabahah atau wadi'ah.
 
vii) Riba lawannya sedekah kerana sedekah merupakan kerelaan memberikan harta benda tanpa mengharapkan imbalan dan balasan. Sedangkan riba, ia menuntut kembali wang yang dipinjamkannya bersekali dengan bunganya yang dikaut daripada penat jerih orang yang meminjamnya. 
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.