Julai 13, 2010 merupakan hari bersejarah - doktor dengan senyum memberitahu bahawa saya tidak perlu makan ubat setiap hari lagi. Hanya Allah yang tahu betapa bersyukur dan gembiranya hati saya menerima khabar tersebut. Setahun yang lalu, ketika mula-mula makan ubat, saya menjangkakan masa setahun itu sangat lama dan hari-hari dilalui seperti tiada penghujungnya. Setiap kali ubat ditelan, setiap kali itu juga saya terfikir, akan sampai jugakah harinya yang saya tidak perlu makan ubat lagi. Akhirnya hari itu sampai juga!
Masa terus berlalu dan tanpa sedar kisah saya di hospital sebenarnya sudah setahun berlalu. Kalau pun setahun cuma ada 365 hari, namun setiap hari dalam 365 hari yang baru saya lalui itu mengandungi 1001 kisah suka duka yang pastinya akan menjadi teman sepanjang hidup saya. Setiap kali menoleh kebelakang, air mata pasti akan mengalir di pipi. Gambar yang disisipkan ini telah diambil satu jam sebelum saya dimasukkan ke CCU. 3 hari saya di situ dengan hidup bergantung kepada mesin. Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah kerana saya masih di sini dan dapat meneruskan apa yang telah saya mulakan lebih setahun lalu!
Terima kasih yang tak terhingga kepada Anne, Ana, Ain, Mak, Abah dan semua yang telah menjaga saya ketika itu dan budi baik mereka tidak akan dapat saya balas sampai bila-bila. Juga kepada mereka yang telah menziarahi saya ketika itu, doa kalian telah membawa saya kembali hidup. Kepada yang telah memberikan sumbangan, sebenarnya semua sumbangan itu sangat membantu dan semoga Allah membalas segala kebaikan itu dengan kebaikan juga dan berlipat kali ganda. Amin!
Semalam sudah berlalu dan menjadi sebahagian lipatan sejarah yang sepatutnya menjadi tauladan dan sempadan, sebagai rujukan dan panduan di masa hadapan. Hari ini kita buat yang terbaik mungkin kerana esok belum tentu kita masih di sini... Bersambung.
Salam!!! Bersyukur ~~ hanya Allah yang menentukan segala-galanya , tidak ada yang lain selainNya. Alhamdulillah dipanjangkan usia ..Amin.
ReplyDeleteDoa yang baik dari orang yang baik-baik, Jazaqallah hu khairan kathira... Amin.
ReplyDeleteSalam... Alhamdulillah... Moga dikurniakan kesihatan yang berterusan utk mudah mengerjakan amalan... Amin
ReplyDelete