Thursday, May 27, 2010

Kerjaya Muslim

Alhamdulillah, Program Kerjaya Muslim telah berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai kebanyakan matlamatnya. Program ini sebenarnya bertujuan untuk mengulangkaji fungsi dan kewajiban kita sebagai seorang muslim. Kejayaan program ini sebenarnya merupakan titik tolak untuk kita menjadikannya sebagai acara tahunan di setiap daerah di Malaysia bagi mengukuhkan kedudukan kita di negara ini dari segi sosial dan ekonomi.

Antara lain, program ini menekankan perkara-perkara yang berkaitan muamalat dan ekonomi islam, kesihatan, fardhu ain, fardhu kifayah dan perkara-perkara sunat.

Program ini telah dijalankan dengan kerjasama Perkim Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Perasmian program Kerjaya Muslim ini telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Dato' Sheikh Mohamad Nor Al-Hafiz.

Pelbagai dugaan dan rintangan telah saya tempoh untuk sampai ke tahap ini dan saya memanjatkan syukur ke hadrat Illahi yang telah memanjang usia saya, supaya saya boleh meneruskan rancangan ekonomi dan penyusunan semula masyarakat yang telah saya mulakan ketika usia saya mencecah 40 tahun.

Sebagai manusia, tidak lah sampai hati saya untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah cuba untuk menggagalkan rancangan saya ini. Kepada mereka yang telah menzalimi saya dan telah mengambil hak saya tanpa redha, maka hanya Allah sahaja lah yang menentukan balasannya. Kepada yang telah memberikan sokongan kepada saya tanpa berbelah bagi, saya berdoa, semoga Allah akan membalas budi baik mereka ini dengan kedudukan yang lebih baik di dunia dan di akhirat, dengan harapan mereka semua akan terus bersama saya untuk meneruskan perjuangan memartabatkan agama Islam dan umatnya di kedudukan yang selayaknya. Amin.

Kerjaya Muslim yang sinonim dengan nama blog ini sebenarnya adalah harapan kepada semua pihak yang faham dan mereka yang sentiasa berdoa supaya nasib kita akan menjadi lebih baik tanpa ada lagi unsur-unsur penindasan, juga merupakan harapan baru bagi mereka yang telah terperangkap dengan cara hidup yang penuh dengan tipu muslihat, bebanan hutang dan sebagainya.

Blog ini sebenarnya membicarakan tentang ekonomi islam dan KO-KITA adalah sebagai wadah atau "vehicle" untuk kita mencapai penstrukturan semula ekonomi dan masyarakat yang semakin hari semakin terumbang-ambing. Penyatuan semula masyarakat ketika ini sangat perlu bagi membela golongan yang telah lama tertindas dan merupakan satu cara untuk kita mencapai keharmonian yang kekal dan abadi.

Matlamat utama KO-KITA adalah untuk mengumpulkan ahli seramai 10,000 orang bagi memulakan perniagaan Hyper-Market. Dengan adanya Hyper-Market ini, ahli-ahli akan mendapat kemudahan untuk membeli keperluan harian di tempat sendiri dan akhirnya akan memperoleh keuntungan pada setiap akhir tahun. Dengan anggaran setiap ahli berbelanja sebanyak RM 300.00 sebulan di Hyper-Market ini, jualan bulanan akan mencecah RM 3,000,000.00 dan menjadikan jumlah tahunan sebanyak RM 36,000,000.00 setahun. Sekiranya 2% diketepikan untuk bonus dan dividen tahunan kepada ahli, setiap ahli akan mendapat pulangan RM 72.00 bagi setiap RM 100.00 yang dilaburkan setahun.

Sekiranya rancangan Hyper-market KO-KITA ini berjaya, maka ahli-ahli dan bakal-bakal ahli tidak akan lagi teragak-agak untuk melabur dan jumlah pelaburan RM 10,000.00 setiap seorang tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik dan asing. Dengan pelaburan tersebut, koperasi bakal boleh membuka 5 lagi Hyper-market di daerah yang lain dan seterusnya kejayaan lima yang lain itu akan pasti mencetuskan pembukaan Hyper-market yang sama di setiap daerah di Malaysia yang berjumlah 134 daerah.

Dengan anggaran setiap daerah mempunyai ahli seramai 10,000 orang maka jumlah saham yang bakal terkumpul adalah RM 13,400,000,000.00. Inilah yang saya maksudkan sebagai "koperasi ini sebenarnya adalah segala-galanya untuk kita". Ini lah permulaan yang baru untuk kita dan segala-galanya akan bermula di sini. Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.