"Berdasarkan sejumlah hadis dan laporan para sahabat dan setelah kita membaca sejarah penetapan rukun-rukun Islam yang ada sekarang, kita mengetahui bahawa solat 5 waktu adalah rukun pertama yang wajib dijalankan oleh kaum muslimin, iaitu di makah pada malam peristiwa Isra' sesuai dengan fakta. Kemudian baru puasa yang diwajibkan di madinah pada tahun 2 Hijrah bersamaan dengan zakat fitrah yang merupakan sarana pensucian dosa, dan perbuatan yang tidak baik bagi yang berpuasa, dan sarana pemberian bantuan kepada orang-orang miskin pada saat lebaran. Setelah itu barulah diwajibkan zakat kekayaan...", Dr Yusuf Qardawi.
1. Zakat pendapatan bermaksud zakat perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti pendapatan ahli profesional. Walau bagaimanapun perolehan hasil harta yang tidak mempunyai struktur zakatnya tersendiri dan juga sumbangan daripada mana-mana pihak jua sekalipun adalah juga diserapkan dalam perbincangan ini. Kesemuanya ini dibincangkan sekaligus kerana persamaan asasnya yang menjadikan hukum bagi kesemuanya adalah sama.
Gaji
Pengertian gaji ialah pendapatan pengajian seseorang yang merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau syarikat atau institusi. Contoh:
• Gaji tahunan
• Tunggakan gaji
• Pelbagai elaun (kenderaan, makan, mesyuarat)
• Lain-lain (termasuk bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan yang berkaitan dengan penggajian.
Kepakaran
Pendapatan bebas ialah pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merupakan ganjaran daripada khidmatnya. Contoh:
• Khidmat guaman
• Khidmat nasihat
• Juru perunding
• Rawatan perubatan
• Kejuruteraan
• Seniman
2. Zakat wang simpanan adalah salah satu jenis zakat harta. Zakat ini dianggap wajib dikeluarkan sebagai zakat kerana ia adalah satu hakmilik atau harta-benda yang boleh dikembangkan. Ini merangkumi semua jenis wang sama ada kertas, syiling atau di dalam bank yang tanpa ada kerugian dan piutang. Jenis zakat:
• Zakat Terus - harta dari aset kewangan seperti surat bank, perhiasan, surat berharga
• Zakat Ainiyah - nilai benda simpanan yang dimiliki
• Zakat Hauliyah - harta yang cukup setahun
• Zakat Nisbiyah - harta yang dikeluarkan adalah relatif atau tidak mutlak, dengan kadar peratusan 2.5% dari harta yang wajib zakat.
• Zakat Naqdiyah
Syarat zakat
Berikut adalah syarat bagi wang simpanan :
1. Cukup nisab, 85 gram untuk emas dan 595 gram untuk perak.
2. Harta cukup satu tahun (haul).
Zakat KWSP dikenakan kerana konsepnya serupa dengan zakat wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan dengan mudah seperti akaun simpanan biasa. Wang KWSP ialah wang simpanan milik individu yang disimpan dalam KWSP sepanjang tempoh perkhidmatan dan telah mencukupi kesemua syarat wajib zakat kecuali "milik sempurna". Syarat "milik sempurna" akan dipenuhi sebaik sahaja wang tersebut dikeluarkan dari KWSP.
Terdapat dua pandangan berkenaan zakat bagi KWSP.
1. Milik Sempurna. Menurut pandangan ini, zakat hanya wajib dikeluarkan ketika pencarum mengeluarkan wang tersebut (sekiranya cukup nisab). Kadarnya ialah 2.5%.
Nilai zakat = Jumlah wang caruman yang dikeluarkan x 2.5%
2. Milik Tidak Sempurna. Mengikut pandangan ini, caruman pekerja (tidak termasuk caruman majikan) yang tersimpan di dalam KWSP dikenakan zakat apabila cukup nisab dan haul. Ini bermakna zakat wajib dikeluarkan pada tiap-tiap tahun apabila memenuhi syarat-syarat zakat walaupun wang tersebut masih berada di dalam tabung KWSP. Kadar zakatnya juga 2.5%.
Nilai zakat = Jumlah wang yang dicarum pada tahun itu x 2.5%
3. Zakat emas dan perak ialah zakat yang dikenakan ke atas beberapa jenis logam berharga, iaitu emas dan perak. Kewajipan zakat ke atas logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud: " Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. " - (Surah At-Taubah: 34)
" (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. " - (Surah At-Taubah: 35)
Zakat Emas dikira dalam dua keadaan.
1. Emas yang tidak dipakai (disimpan) - yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85 gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%
2. Emas yang dipakai - (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ia melebihi ‘uruf’ (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf. Nilai yang diambilkira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.
Zakat Perak
Beza zakat perak dengan emas cuma nilai nisabnya iaitu 595 gram.
4. Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan, sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya. Kadar zakat yang wajid dikeluarkan ialah sebanyak 2.5% atau 1/40 daripada semua nilaian harga barang-barang yang diperniagakan pada tarikh cukup haul.
Zakat perniagaan ini sebenarnya ialah sejenis zakat pendapatan.
Syarat wajib zakat
1. Islam
2. Sempurna milik
3. Merdeka
4. Cukup haul (biasanya setahun)
5. Cukup nisab (berubah2 mengikut harga pasaran emas)
Kaedah pengiraan zakat
Terdapat dua kedah pengiraan zakat perniagaan:
1. Kaedah Model Berkembang (Growth Model)
Ia mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut, sumber-sumber pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Di dalam istilah yang lebih ringkas ialah Modal dicampur dengan Keuntungan.
Harta yang dikenakan zakat = Ekuti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang - Aset Tetap - Aset Bukan Semasa +/- Pelarasan
2. Kaedah Model Modal Kerja (Working Capital)
Ia mengambil kira kedudukan Harta Semasa perniagaan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat yang perlu diambil kira. Pelarasan ini dibuat samaada dengan mencampurkan item-item yang telah dikenalpasti perlu ditambah atau membuat tolakan.
Harta yang dikenakan zakat = Aset Semasa - Liabiliti Semasa +/- Pelarasan
Nota: Pelarasan ialah seperti barang-barang yang tidak diwajibkan zakat, barang bukan milik sempurna, wang yang dipinjamkan dan sebagainya.
Penjelasan dalil
Firman Allah s.w.t, dari surah Al-Baqarah, ayat 267: "Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu."
Sabda Rasulullah s.a.w: "Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)". Mereka bertanya, "Wahai Rasullullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?". Baginda menjawab, "Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah." Mereka bertanya, " Kalau tidak mempunyai pekerjaan?". Baginda bersabda, "Tolonglah mereka yang meminta pertolongan". Mereka bertanya lagi, "Bagaimana pula jika tidak berkuasa?". Baginda menjawab, "Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah".
5. Zakat ternakan ialah zakat yang wajib dikeluarkan apabila sempurna syarat-syaratnya. Haiwan ternakan yang diwajibkan zakat adalah kambing, biri-biri, lembu, kerbau dan unta. Haul semua haiwan sama iaitu 1 tahun. Manakala nisabnya berbeza mengikut haiwan, misalnya kambing 40 ekor, lembu 30 ekor dan unta 5 ekor.
Dalil wajib zakat ternakan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Daripada Muaz Ibnu Jabal, beliau berkata: Baginda Rasulullah SAW telah mengutus aku ke Yaman dan beliau memerintahkan aku dari setiap 40 ekor lembu, satu ekor lembu (musinnah-Lembu betina berumur 2 tahun lebih) dan dari tiap-tiap 30 ekor lembu, (tabi`-Lembu jantan berumur 1 tahun lebih), atau tabiah (satu ekor lembu jantan atau betina yang mencapai umur 2 tahun)." - (Riwayat Ibnu Majah)
Syarat wajib zakat ternakan
1. Islam
2. Sempurna milik
3. Merdeka
4. Cukup nisab (genap setahun)
5. Binatang ternakan tidak digunakan untuk bekerja seperti membajak sawah, menarik kereta dan sebagainya.
6. Zakat hasil pertanian merupakan zakat yang dikenakan ke atas makanan ruji yang mengenyangkan ke atas sebuah kawasan yang telah cukup nisab dan haulnya. Hasil tanaman yang wajib dizakatkan adalah bijirin dari jenis makanan asasi yang mengenyangkan dan tahan lama jika disimpan seperti padi, kurma, jagung, gandum dan sebagainya. Hasil tanaman yang tidak asas seperti kelapa, kelapa sawit, getah, lada hitam, tebu, koko dan buah-buahan lain pula dikenakan zakat perniagaan jika diperniagakan.
Dalil zakat pertanian
Firman Allah SWT bermaksud: " Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. " - (Surah Al-Baqarah: 267)
Syarat wajib zakat
1. Islam
2. Sempurna milik
3. Merdeka
4. Cukup nisab - cukup sukatan iaitu 5 Ausuk (bersamaan 363 gantang Malaysia)
Kaedah mengeluarkan zakat pertanian
Biji-bijian dan buah-buahan yang cukup nisabnya hendaklah dibayar zakatnya mengikut peratus penghasilan. Kadar peratus pembayarannya bergantung kepada cara-cara penghasilnya. - Biji-bijian dan buah-buahan yang sampai nisab yang diusahakan dengan menggunakan tenaga manusia atau lainnya seperti binatang dan jentera atau dengan perbelanjaan yang banyak maka kadar zakatnya ialah 5% atau 1/20. - Biji-bijian dan buah-buahan yang sampai nisab yang hanya bergantung kepada jirusan air hujan atau hidup dengan aliran sungai atau parit maka kadar zakatnya ialah 10% atau 1/10.
Bagi tanaman yang mengunakan kedua-dua cara di atas maka kadarnya ialah 7.5%.
7. Zakat rikaz dan ma'din. Ini merupakan satu jenis zakat kekayaan barang galian.
Rikaz bermaksud harta yang ditemui, ini merupakan sesuatu harta yang tidak dinampak, disorok, ditanam, disimpan dan dipendam oleh seseorang insan sebelumnya. Harta yang dinyatakan tidak nampak seperti ditanam di dalam tanah, gua atau sesuatu perbuatan yang menyembunyikan. Harta ini termasuk emas, perak, tembaga dan pundi-pundi bernilai.
Ma'din merupakan harta hasil bumi yang bernilai seperti emas dan perak. Hasil bumi ini boleh dinyatakan seperti petroleum, batu permata, dan lain-lain jenis yang berhubungan dengan bumi dan nilainya amat berharga seperti emas dan perak.
Syarat pengeluaran
• Zakat Rikaz wajib dikeluarkan tanpa ukuran jumlah (nisab) dan tanpa cukup setahun (haul) atau ukuran waktu. Barang atau harta ini, perlu menemui dengan kadar wang sebanyak 85 gram emas (20 miskal atau misqal) dan 595 gram (200 wang perak (dirham). Kadar zakat adalah 2.5%.)
• Zakat Ma'din, wajib dikeluarkan bila terjumpa atau dijumpa. Tidak ada tempoh waktu (haul). Barang atau harta ini, perlu menemui dengan kadar wang sebanyak 85 gram emas (20 miskal atau misqal) dan 595 gram (200 wang perak (dirham). Kadar zakat adalah 1/5 bahagian) http://ko-kita.blogspot.com/
Very informative. Thank You.
ReplyDelete