Wednesday, June 22, 2011

Fardhu Kifayah...

1. Kifayah dari segi bahasa bermaksud 'mencukupi' dan 'memadai'. Dari segi istilah ia membawa maksud kewajipan yang difardhukan ke atas seluruh umat Islam dengan tujuan untuk menegakkan agama Islam seperti menuntut ilmu al-Quran, ilmu Hadith, menyempurnakan jenazah dan mengajak kepada amar ma’ruf nahi mungkar.

2. Imam an-Nawawi pula menyatakan bahawa perlaksanaan fardhu kifayah itu dituntut atau dikenakan ke atas semua orang Islam yang mukallaf. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam melaksanakannya maka terlepaslah tanggungjawab itu dari seluruh umat Islam.

3. Menurut Ibn Khaldun manusia tidak dapat hidup sendirian sebaliknya memerlukan kepada satu organisasi kemasyarakatan di mana mereka dapat bekerjasama dalam menjalani kehidupan. Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan untuk hidup dan makanan tersebut tidak dapat dihasilkan tanpa melalui beberapa proses yang melibatkan pengemblengan tenaga kerja sesama manusia dan alat-alat tertentu. Oleh yang demikian memiliki kemahiran di dalam hal tersebut bagi memenuhi keperluan masyarakat juga termasuk dalam tuntutan fardhu kifayah.

4. Pengetahuan terhadap prinsip halal dan haram adalah wajib bagi setiap Muslim kerana dengan itu dia akan mengetahui perkara yang menjadi fardhu ain yang menjadi fardhu kifayah.

5. Kesatuan

Firman Allah S.W.T.
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).
(Al-Baqarah: 213)

6. Perdamaian Dan Peperangan

Firman Allah S.W.T.:
Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong; Kecuali orang-orang yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Ia menjadikan mereka berkuasa melawan kamu, kemudian tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka.
(Al-Nisa’ : 89-90)

Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: 'Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertakwallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.'
(Al-Anfal : 61)

7. Prinsip Musyawarah

Firman Allah S.W.T.
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
(Ali Imran: 159)

Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: 'Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahutkan dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.'
(Al-Syura : 38)

8. Ekonomi dan Perdagangan

Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: 'Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.'
(Al-Nisa’ :29)

Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: 'Orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: 'Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba', padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti(dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.'
(Al-Baqarah : 275)

Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: 'Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang-cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.'
(Al-Mutaffifin: 1-3)

9. Bantuan

Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: 'Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi; atau memberi makan pada hari kelaparan kepada anak yatim dari kaum kerabat, atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.'
(Al-Balad: 12-16)

10. Kepakaran

Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: 'Dan kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang kami wahikan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada Ahlu’dzDzikir' jika kamu tidak mengetahui.'
(Al-Anbiya : 7)

Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: 'Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). '
(At-Taubah :122)

BEBERAPA AMALAN FARDHU KIFAYAH DARI SEJARAH ISLAM

11. Pembinaan Masjid Nabawi

Tindakan pertama yang diambil oleh baginda Rasulullah s.a.w. sebaik sahaja berhijrah ke Madinah al-Munawwarah ialah membina masjid yang selain berfungsi sebagai pusat ibadat kepada umat Islam, ia juga merupakan pusat pentadbiran, markas ketenteraan, gedung ilmu pengetahuan, sumber bantuan dan pertolongan, tempat perlindungan dan pusat kegiatan masyarakat dan dakwah yang menghubungkan manusia dengan manusia dan manusia dengan Allah.

12. Piagam Madinah

Piagam ini diadakan bagi mengatur kehidupan dan hubungan antara komuniti-komuniti yang merupakan komponen-komponen masyarakat majmuk di Madinah. Piagam ini merangkumi aspek sosial, ekonomi, politik dan keamanan masyarakat majmuk pada waktu itu dan dimartabatkan oleh para pemimpin dan pakar ilmu politik Islam sebagai konstitusi atau undang-undang dasar bagi negara Islam pertama yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah.

13. Musyawarah

Musyawarah merupakan satu mekanisme yang digunakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di dalam mengambil sesuatu keputusan berkenaan hal-hal bersangkutan kepentingan bersama umat Islam pada masa itu. Musyawarah adalah penting bagi mengukur sejauh mana anggota masyarakat dilibatkan di dalam urusan kenegaraan. Rasulullah s.a.w. telah membudayakan amalan bermusyawarah ini bersama-sama para sahabat. Contohnya ketika menjelang pertempuran Badar, Rasulullah s.a.w. telah memutuskan lokasi bagi pasukan Islam iaitu suatu tempat berdekatan mata air. Kemudian datang seorang Ansar bernama Hubab bin Mudhir mengadap baginda s.a.w. sendiri lalu bertanya tentang keputusan baginda s.a.w. itu sama ada keputusan tersebut atas petunjuk Allah yang tidak dapat diubah lagi atau keputusan baginda s.a.w. sendiri yang diam.

14. Sistem Rondaan

Selepas penghijrahan, Rasulullah s.a.w. mula menghantar pasukan-pasukan tentera peninjau untuk membuat rondaan di kawasan sekitar Madinah. Tujuan menghantar pasukan-pasukan rondaan ini adalah untuk menjaga sempadan-sempadan Negara Madinah, mengawasi pergerakan musuh dan menunjukkan kepada pihak Quraisy dan lain-lain pihak bahawa kini telah wujud sebuah kerajaan yang teratur dan Madinah sebagai ibukotanya. Rondaan ini juga dibuat untuk memberikan pengalaman tentang kegiatan-kegiatan tentera secara tersusun, bergerak seperti jentera di bawah arahan pemerintah pusat, mempelajari taktik-taktik ketenteraan dan menguasai keupayaan melaksanakan tugas-tugas seperti yang diperintahkan sekalipun dalam keadaan sulit.

PANDANGAN SEMPIT TERHADAP FARDHU KIFAYAH

15. Rata-rata umat Islam di negara kita beranggapan bahawa Fardhu kifayah hanya terbatas dan dikenali ketika memandi dan menyembahyangkan jenazah sahaja.konsep serta ruang fardhu kifayah tidak pernah dihuraikan oleh para ulamak Islam secara terperinci seperti limu fardhu ain yang perbahasannya sampai membawa kepada perselisihan faham mazhabi yang kronik. Nyatanya umat Islam dari dulu hingga hari ini berpecah akibat penghuraian ilmu fardhu ain yang terlalu dititik beratkan.

16. Hakikatnya urusan fardhu kifayah lebih melebar dan sentiasa berkembang selari dengan keperluan hidup manusia. Jelasnya segala kemajuan yang dicapai oleh umat lain yang selari dengan hukum syarak menjadi fardhu kifayah ke atas umat Islam menguasainya. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk membebaskan pergantungan umat Islam kepada orang lain, seterusnya penguasaan mereka. Menjadi umat yang terjajah adalah suatu musibah besar kepada umat Islam era globalisasi hari ini.

17. Salah satu pandangan yang kurang tepat ialah apabila kemajuan berupa pembangunan material seperti bangunan yang megah berunsur Islam dikatakan satu pembangunan membazir. Ia merupakan syiar Islam yang dituntut untuk menyemarakkan lagi rasa ‘izzah di kalangan umat Islam. Begitu juga dengan kewujudan bangunan pencakar langit yang dianggap sebagai membazir walaupun pada saat dan ketika ia dibina keadaan ekonomi mengizinkan. Walau bagaimanapun kewujudan bangunan-bangunan tersebut selalu disalah ertikan sebagai penyebab kepada wujudnya perkara yang semata-mata disebabkan oleh pembangunan material yang pesat tetapi oleh kerana ketahanan diri (iman) yang tidak kental. Maksiat akan terus melebarkan sayapnya sekiranya umat ini tidak prihatin kepada pembangunan rohani. Bukan hanya di bandar, bahkan di kampung-kampung.

18. Justeru umat Islam semestinya memahami batasan dan ruang lingkup tuntutan fardhu kifayah yang semakin mendesak untuk melepaskan diri dari dibelenggu oleh umat lain yang melihat bahawa dunia ini adalah untuk sebuah kehidupan yang terpenting. Kita tidak mahu negara umat Islam terkenal dengan suasana yang miskin yang mundur seolah-olah Islam ini merupakan agama yang melahirkan kemunduran dan kedhaifan hidup. Allah S.W.T. telah menegaskan dalam firman-Nya:

Maksudnya: 'Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak akan mengubah apa sahaja yang ada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa sahaja dengan diri mereka sendiri'.
(Ar-Ra’d : 11)

19. Apapun sikap kita, mentadbir dunia bukanlah merupakan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kebijaksanaan dan kecekapan serta kecepatan bertindak dan terserah kepada kita sendiri dengan panduan syariat Allah S.W.T. kerana Rasulullah S.A.W. pernah bersabda kepada sahabat baginda yang bermaksud 'Kamu lebih tahu dengan urusan dunia kamu'.

FARDHU KIFAYAH SATU DIMENSI BARU

20. Islam sangat menggalakkan pembangunan sama ada daripada segi material mahupun kerohanian. Akan tetapi apalah gunanya pembangunan material andainya aspek kerohanian merosot dan begitu juga sebaliknya apalah gunanya aspek kerohanian kental jika pembangunan material pincang menjurus kepada kehancuran umat.

21. Di sinilah letaknya keunikan dan keistemewaan yang menghiasi Islam mendokong konsep-konsep dua kefardhuan iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah yang perlu diseimbangkan dan difahami dengan sejelas-jelasnya untuk keperluan di dunia dan di akhirat.

22. Sehubungan itu, usaha-usaha yang dilakukan untuk mengubah salah tanggap tentang erti fardhu kifayah perlulah digalakkan. Ini kerana ia mempunyai kaitan dengan aspek pembangunan yang menyumbang kepada keselesaan hidup dan keselamatan umat Islam. Malah seluruh umat Islam akan berdosa jika tidak ada pihak yang sanggup berusaha melaksanakan dan menyediakan keperluan bagi keselesaan hidup umat Islam di negara ini.

23. Islam sentiasa mendorong kepada kecemerlangan, kemakmuran dan pembangunan dalam semua segi kehidupan. Sayangnya dalam bidang inilah kita mengalami kelemahan dan kemunduran. Dalam pada itu kecemerlangan dan pembangunan tidak juga bermakna jika tanpa disertai jiwa yang tenang dan perut yang kenyang. Kita juga memerlukan sebuah masyarakat saintifik dan progresif yang bermoral, adil dan penyayang. Maka dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan umat Islam mereka mestilah bersama-sama memainkan peranan membangunkan umat melalui pengertian fardhu kifayah yang sebenarnya. Mereka tidak sewajarnya menyempitkan fahaman mereka terhadap fardhu kifayah tentang perkara yang berkaitan dengan kematian sahaja sedangkan makna tuntutan fardhu kifayah sangat luas.

24. Umat Islam dengan ini walau apapun peranan mereka, mereka bertanggungjawab merancang cara-cara mengukuhkan sumber ekonomi. Ia seperti membangunkan tanah wakaf, membeli dan mendapatkan tanah pertanian, industri, mendirikan pusat-pusat latihan dan perlindungan untuk golongan yang kurang bernasib baik, menubuhkan koperasi, menjalankan perniagaan dan banyak lagi. Dengan itu, tuntutan fardhu kifayah yang lebih menyeluruh dapat kita laksanakan, serentak itu juga kita boleh dijadikan model kerana wujudnya keseimbangan antara pembangunan rohani dengan pembangunan jasmani. Ini sekaligus dapat membina imej bahawa agama Islam adalah agama yang mementingkan kehidupan duniawi dan ukhrawi.

25. Sesungguhnya hanya dengan fahaman yang sebenarnya tentang fardhu kifayah sahajalah umat Islam dapat membina kehidupan mereka dengan cemerlang. Segala prasarana ilmu yang disediakan perlu digunakan dengan sebaik-baiknya, malah peluang yang ada pada hari ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Tanggungjawab melaksanakan tuntutan fardhu kifayah sewajarnya tidak lagi dimiliki oleh orang perseorangan atau kelompok masyarakat sedangkan golongan lagi memencilkan diri. Sebaliknya setiap orang perlu merebut peluang menunaikan tuntutan fardhu kifayah supaya umat Islam terselamat daripada memahami konsep tunggu dan biarkan orang lain buat.

26. Oleh itu kita harus bersaing dan berlumba, masing-masing perlu berusaha sebanyak mungkin untuk menentukan kewujudan dan survival diri atau umat Islam di negara ini.

27. Sekali lagi ditekankan, kita perlu cepat merebut peluang yang ada. Ini kerana kita sedang berada dalam era pembangunan dan era perindustrian yang maju. Dalam bidang pembangunan ilmu pengetahuan, teknologi dan perindustrian kita tidak lagi berada dalam zaman primitif dan mundur. Semua kemudahan yang disediakan memberi gambaran bahawa kita sedang menuju ke arah masyarakat maju dan terkemuka dalam semua bidang iaitu dalam bidang pembangunan, teknologi, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain.

28. Cuma apa yang perlu bagi kita adalah pengisian. Fikrah dan halacara hidup kita sebagai umat Islam perlu diperbetulkan dari terus membincangkan persoalan fardhu ain, ibadat khusus dan mengulang-ulang apa yang telah dibicarakan sejak berabad-abad lalu tanpa membuka minda masyarakat dengan lebih luas tentang aspek fardhu kifayah yang perlu diberi nafas baru. Kita masih ketinggalan dalam mengisi peluang yang disediakan melalui aspek I.T. Kita masih tidak melihat kemudahan tersebut diisi dengan program dan pendekatan secara Islamik yang lebih berkualiti. Lantas, bidang tersebut direbut oleh pihak lain lalu diisi dengan bahan-bahan yang lebih menjurus kepada kerosakan dan penyelewengan. Maka jadilah ruang-ruang tersebut diremehkan oleh umat Islam lalu ia diwarnai oleh pandangan negatif yang tidak islamik.

29. Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu memahami dengan sungguh-sungguh erti fardhu kifayah. Kita perlu ada usaha untuk memprojekkan teknologi canggih yang telah tersedia dengan program pembangunan, penyelidikan dan pengisian yang bercorak keagamaan. Apakah yang akan terjadi jika semua bahan kandungan dan perbincangan tentang Islam diserahkan kepada orang bukan Islam. Bayangkanlah orang bukan Islam mengendalikan program I.T. tentang Islam? Kita tidak boleh meminggir diri semata-mata beralasan I.T. itu alat imperialis tetapi kita tiada alternatif lain untuk mengatasinya.

30. Seperkara lagi, perjuangan membangunkan ummah tidak boleh bergantung kepada sesuatu program tertentu sahaja dan tidak boleh diharap dapat mencapai kejayaannya dalam tempoh masa yang pendek. Malah kita perlu ingat proses pembangunan umat yang teguh memerlukan kerja yang berterusan. Kita akan terkebelakang dan ketinggalan jika kita sering mempamerkan kelemahan dan memberi peluang kepada orang lain mengaut dan mengeksploitasi keuntungan. Dalam bidang ekonomi contohnya, kita masih terkebelakang ditinggalkan oleh bangsa asing sedang kita asyik membicarakan apakah sesuatu itu boleh atau tidak, antara boleh atau tidak itulah maka orang lain sudah kaya-raya dan berjaya mendirikan bangunan indah dan memiliki harta.

31. Memahami kemelut yang dihadapi oleh umat Islam dewasa ini maka langkah segera pihak kerajaan untuk mengatasinya kini telah menampakkan kejayaan. Ketika kebanyakan negara Islam tidak mengambil langkah yang serius untuk menyedarkan masyarakat tentang perlaksanaan sistem ekonomi antara mereka, pihak berkuasa tampil membantu mengawal pembahagian kekayaan dari peringkat asas lagi menerusi pembahagian saham di kalangan bumiputera. Penubuhan Bank Islam dan Tabung Haji mencerminkan langkah-langkah mengislamkan sistem ekonomi di Malaysia. Malaysia masih merupakan negara yang terbaik dan berjaya melaksanakan sistem ekonomi Islam dan menjadi model kepada negara Islam yang lain.

32. Sebagai contoh, tugas Tabung Haji bukan lagi sebagaimana yang ada pada masa dulu iaitu mengembangkan tabungan di kalangan umat Islam untuk menunaikan ibadah haji di Mekah semata-mata, akan tetapi ia turut mengembangkan kedudukan ekonomi mereka keseluruhannya di samping berperanan menjaga keselamatan ekonominya daripada dihakis oleh perkembangan semasa. Orang ramai kini tidak lagi menganggap Tabung Haji sebagai pengurus kepada hal ehwal pemergian umat Islam menunaikan haji semata-mata. Lebih daripada itu, ia sebagai pengurus pelaburan yang cekap bagi meningkatkan modal umat Islam melaburkannya dalam sektor halal lagi menguntungkan. Dengan mengadakan skop pelaburan lebih luas itu Tabung Haji secara langsung memberikan umat Islam pilihan alternatif bagi pelaburan jangka panjang mereka ke dalam sistem ekonomi islam itu sendiri.

33. Inilah konsep fardhu kifayah yang perlu dihayati oleh umat Islam masa kini. Ia bukan sahaja menyelamatkan Islam daripada dihimpit oleh kemelesetan ekonomi malah sekaligus membuktikan bahawa Islam adalah agama contoh dan releven untuk diamalkan sepanjang zaman.

Tuesday, June 7, 2011

Charity Lunch...

(Telah berpindah ke Masjid Muhibuddin, Ipoh atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, menu juga ditukar mengikut kesesuaian, Nasi Putih Basmathi, Ayam Goreng, Dalca, Timun dan Sambal)

Berdasarkan hadits mutafaq ‘alaih dari Abdullah bin Amru, ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw., “Islam yang manakah yang paling baik?” Rasulullah saw. bersabda:

"تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ"

“Memberikan makanan, mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang tidak engkau kenal.”

Mulai:13/6/2011
Masa: 11.30 am - 1.30 pm
Hari: Setiap Hari Bekerja
Tempat: Ruang Legar, Menara PERKIM, Kuala Lumpur
Harga: RM 2.50 Per Pax
Menu: Nasi Minyak Simple, Dalca Daging, Sambal